Kuching, 05 Mei 2025 – Lembaga Kebajikan Anak-Anak Yatim Sarawak (PERYATIM) dengan penuh rasa syukur dan bangga mengucapkan tahniah kepada anak-anak PERYATIM Kompleks Kebajikan Laila Taib, Kuching atas pencapaian cemerlang dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 yang diumumkan baru-baru ini.

Keputusan yang membanggakan ini merupakan hasil kejayaan Program Tuisyen Intensif PERYATIM Sarawak 2024 (TIPS-PERYATIM 2024) yang telah dilaksanakan sepanjang tahun 2024, dengan kerjasama erat bersama Pusat Tuisyen Terbilang sebagai penyedia latihan rasmi.

Seramai 46 orang pelajar PERYATIM telah mengikuti program ini, melibatkan pelajar Tingkatan 2 hingga Tingkatan 5 termasuk calon-calon SPM, serta Program Membaca bagi anak-anak berumur 5 hingga 12 tahun. Kesungguhan mereka sepanjang mengikuti kelas intensif ini akhirnya membuahkan hasil dengan keputusan peperiksaan yang memberangsangkan, terutamanya dalam mata pelajaran teras seperti Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains, Sejarah dan Pendidikan Islam.

PERYATIM amat menghargai komitmen tinggi dan dedikasi semua guru-guru pakar dari Pusat Tuisyen Terbilang, khususnya Pusat Tuisyen Terbilang Matang Jaya dan Sukma Ria yang telah menjadi tulang belakang kejayaan program ini. Keikhlasan mereka dalam mendidik dan membimbing anak-anak yatim telah memberi impak yang besar terhadap pembangunan akademik dan sahsiah pelajar.

Ucapan terima kasih turut ditujukan kepada semua guru-guru TERBILANG yang telah mencurahkan ilmu, masa dan tenaga bagi memastikan anak-anak PERYATIM mendapat peluang pendidikan yang setaraf dengan pelajar lain.

Pengurus Kompleks Kebajikan Laila Taib, Kuching, Ustaz Nurie Hadi bin Latip, turut menyatakan penghargaan beliau atas usaha bersama ini. Beliau berkata:

“Kejayaan ini membuktikan bahawa dengan kerjasama, komitmen dan sokongan yang padu daripada pelbagai pihak, anak-anak PERYATIM mampu melakar kecemerlangan yang membanggakan. Kami amat berterima kasih kepada semua yang terlibat, terutamanya guru-guru Pusat Tuisyen Terbilang.”

PERYATIM juga menyeru agar lebih banyak pihak tampil memberikan sokongan bagi memastikan kesinambungan program sebegini, demi pembangunan pendidikan anak-anak yatim yang lebih baik dan menyeluruh pada masa akan datang.

Tahniah diucapkan kepada semua pelajar yang berjaya. Semoga kejayaan ini menjadi inspirasi kepada semua anak-anak PERYATIM untuk terus berusaha gigih dalam mengejar cita-cita dan kejayaan di masa hadapan.

Terima kasih kepada guru-guru TERBILANG. Alhamdulillah.