Kuching, 26 April 2025 – Majlis Minum Petang Alumni UTHM Zon Borneo yang diadakan di Hilton Hotel, Kuching berlangsung dalam suasana penuh mesra dan nostalgia, menghimpunkan lebih 500 jemputan alumni dari pelbagai generasi termasuk alumni era PLSP, ITTHO, KUiTTHO dan UTHM.
Program ini merupakan sebahagian daripada Siri Jelajah Alumni UTHM Bersama Naib Canselor 2025 yang bertujuan memperkukuh hubungan antara pihak universiti dan para alumni, serta merapatkan jaringan kerjaya dan kebajikan bekas pelajar di Zon Borneo.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran Naib Canselor UTHM, YBhg. Dato’ Prof. Ts. Dr. Ruzairi bin Abdul Rahim yang menyampaikan ucapan penghargaan dan menyeru alumni untuk terus menyumbang kembali kepada universiti dan komuniti. Turut hadir ialah tetamu kehormat Dr. Ishak Johari, tokoh pembangunan masyarakat dan alumni terbilang yang turut dijemput khas.
Dalam ucapan ringkasnya, Dr. Ishak berkata:
“Alhamdulillah dapat bertemu dengan alumni UTHM, KUiTTHO, ITTHO & PLSP. Setelah sekian lama… rasa syukur dapat kembali berhubung dengan rakan-rakan lama dan melihat pencapaian hebat mereka masing-masing.”
Majlis turut dihadiri oleh Saudara Zaiwin Rosli, Ketua Chapter Alumni UTHM Sarawak merangkap Pengerusi Koperasi Belia Inovatif Sarawak (KOBIS), yang juga merupakan penggerak utama program ini bersama pasukan dari Pusat Kerjaya dan Alumni UTHM (PKKA). Hadir sama beberapa wakil alumni berprofil tinggi dari sektor awam, swasta dan NGO di Sarawak.
Para tetamu turut dihidangkan dengan pelbagai sajian minum petang melalui konsep “Sip of Hi-Tea” termasuk menu istimewa seperti Sarawak Laksa, mini tartlet, sandwich, dan pelbagai manisan yang menambah seri majlis.
Program ini bukan sahaja menjadi medan untuk mengimbau kenangan zaman kampus, tetapi juga membuka ruang kepada kolaborasi strategik antara alumni dan pihak universiti dalam bidang akademik, keusahawanan dan pembangunan komuniti.