KUCHING: Penggunaan kecerdasan buatan (AI) secara terancang dan dalam penghasilan bahan pembelajaran interaktif diberi penekanan dalam Bengkel Pembudayaan AI dianjurkan Sekolah Sukan Negeri Sarawak, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tabuan Jaya baru-baru ini.

Menurut kenyataan dikeluarkan penganjur, bengkel itu diadakan bagi memperkukuhkan kompetensi digital guru serta menghubungkan teknologi dengan pendidikan dan pembangunan pelajar atlet.

Selain itu ia menghubungkan pembudayaan AI dengan pembelajaran pelajar atlet dan pengurusan sukan yang lebih teratur.

Program di bawah kepimpinan pengetua sekolah berkenaan, Abit Hong bertemakan ‘Guru Peneraju, Pembelajaran Bermakna, Pendidikan Masa Depan’ bertujuan meningkatkan kemahiran serta keyakinan guru menggunakan AI mengikut keperluan sekolah sukan.

Bengkel dikendalikan Penyelaras Program Khas Pascasiswazah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)-Terbilang Academy Sarawak (TAS) serta Pakar TVET Multimedia Interaktif Dr Ishak Johari.

Melalui MODEL ISHAK AI-6TM, guru dipandu dengan enam langkah iaitu siasat, ringkas, susun, kuatkan, kongsi dan semak sebelum bahan digunakan dengan pelajar.

Guru menentukan objektif, memilih isi dan membuat keputusan akhir, manakala teknologi membantu dalam penyediaan draf serta penambahbaikan bahan.

Selain itu, konteks bola sepak, sepak takraw, bola jaring, badminton, tenis dan olahraga dketengah untuk menghubungkan mata pelajaran dengan pengalaman pelajar atlet.

Guru turut diberi panduan membina arahan atau ‘prompt‘ yang jelas menggunakan Canva AI bagi menyediakan poster, infografik, nota visual dan slaid.

Bagi pelajar atlet yang mengikut latihan atau kejohanan, nota digital dan latihan kendiri boleh menyokong kesinambungan pembelajaran  manakala rekod akademik membantu guru merancang sokongan mengikut keperluan pelajar

Bagaimanapun semakan manusia kekal penting khusunya bagi fakta, sumber, privasi serta maklumat berkaitan teknik dan keselamatan latihan, maknanya guru dan jurulatih beranggungjawab mengesahkan kandungan dan analisis sebelum digunakan.

Pada program sama Abit menyampaikan sijil penghargaan kepada Ishak.

Sumber:https://www.utusanborneo.com.my/2026/10/12/penggunaan-ai-secara-terancang-dalam-penghasilan-bahan-pembelajaran-interaktif-diberi?