Tanjong Malim, 24 April 2025 – Pusat Alumni Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menganjurkan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri 1446H bagi menghimpunkan para alumni Anak Kandung Suluh Budiman dalam suasana penuh kemesraan dan silaturrahim. Majlis yang diadakan di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah ini turut diserikan dengan kehadiran pelbagai tokoh penting, termasuk Dr. Ishak, Ketua Pegawai Eksekutif syarikat, pensyarah serta usahawan dalam bidang pendidikan.

Dr. Ishak dalam ucapannya menyatakan rasa syukur kerana dapat hadir ke majlis yang penuh bermakna ini. Beliau berkata, “Alhamdulillah dapat bersama-sama bersua dengan Anak Kandung Suluh Budiman. Tak sangka dapat bertemu dengan insan-insan hebat. Meraikan Kemeriahan Aidilfitri anjuran Pusat Alumni UPSI. Terima kasih atas jemputan.”

Majlis dimulakan seawal jam 10 pagi dengan ketibaan alumni serta pendaftaran. Suasana menjadi lebih meriah dengan kehadiran ahli Lembaga Pengarah Universiti serta Naib Canselor UPSI, YBhg. Profesor Dato’ Dr. Md Amin bin Md Taff. Timbalan Naib Censelor HEPA, Prof. Dr. Khalid, Ahli Lembaga Pengurusan Universiti (Wakil Alumni) Dato’ Seri Ahmad Baruk, Bendahari UPSI Tuan Haji Najib, Pengurus Besar UPSI Holdings dan Bekas Menteri Besar Pahang Dato’  Seri Abdul Jabbar (Alumni MPSI) serta Datuk Zainal Pengerusi Yayasan Basmi Kemiskinan. Pelbagai pengisian turut diadakan termasuk sesi fotografi, nyanyian lagu Ibu Kandung Suluh Budiman, tayangan montaj, bacaan Al-Fatihah serta ucapan-ucapan aluan.

Kemuncak acara adalah jamuan Hari Raya yang menjadi medan untuk para alumni berinteraksi, berkongsi cerita dan mengenang kembali memori ketika menuntut ilmu di UPSI. Turut berlangsung ialah sesi penyampaian hadiah dan penghargaan yang menambahkan lagi kemeriahan sambutan.

Pusat Alumni UPSI dalam perutusannya turut menzahirkan ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua alumni dan warga UPSI: “Aidilfitri bukan sekadar sambutan kemenangan selepas Ramadan, tetapi juga ruang untuk memperkukuh ukhuwah, menyemai semula rasa kebersamaan dan memperbaharui semangat sebagai satu keluarga besar. Semoga Syawal ini membawa keberkatan, ketenangan dan kebahagiaan buat semua.”

Majlis ini jelas membuktikan semangat kebersamaan dalam kalangan keluarga besar Suluh Budiman masih utuh dan terus mekar. Ia menjadi bukti nyata bahawa nilai kekitaan dan jati diri alumni UPSI sentiasa subur dan dihargai.