KUCHING, 27 Mei 2025 – Keprihatinan terhadap pembangunan ekonomi Bumiputera, khususnya masyarakat Melayu Sarawak, terus dizahirkan melalui peranan aktif YBrs. Dr. Ishak Johari, Naib Presiden Dewan Ekonomi Melayu Sarawak (DEKOMS) yang menjadi antara tokoh utama dalam sesi libat urus memperkasa penyertaan kontraktor Bumiputera dalam sektor pembinaan kerajaan di Sarawak.

Sesi yang berlangsung di Hotel Serapi, Kuching ini merupakan kerjasama strategik antara CIDB Malaysia, Persatuan Kontraktor Bumiputera Sarawak (PKBS) dan DEKOMS, dengan objektif mengumpul input berharga daripada pemain industri serta NGO berkaitan bagi merangka pelan tindakan memperkukuh kedudukan kontraktor Bumiputera.

Dr. Ishak dalam ucapannya menyuarakan komitmen padu beliau bersama DEKOMS untuk memastikan suara kontraktor Melayu dan Bumiputera di Sarawak diangkat dan dilibatkan secara langsung dalam perancangan serta pelaksanaan dasar perolehan kerja kerajaan.

“Libat urus sebegini sangat penting agar suara anak tempatan bukan sahaja didengar, tetapi diambil kira dalam pembuatan keputusan yang menentukan hala tuju ekonomi negeri,” tegas beliau.

Sebagai pemimpin masyarakat dan juga figura penting dalam pendidikan dan pembangunan usahawan Melayu, Dr. Ishak dilihat sentiasa proaktif dalam menjalin kerjasama antara kerajaan, agensi pelaksana dan sektor swasta untuk membuka peluang lebih luas kepada kontraktor tempatan. Beliau turut mengutarakan cadangan penambahbaikan dasar sedia ada dan menekankan kepentingan peningkatan kapasiti teknikal serta pengurusan kontraktor Melayu Sarawak.

Antara hasil signifikan sesi ini termasuklah pembinaan rangkaian strategik antara kontraktor dan agensi pelaksana, serta pendedahan terhadap peluang perolehan yang sebelum ini tidak dimanfaatkan sepenuhnya oleh kontraktor Bumiputera.

Turut hadir dalam sesi ini ialah Presiden DEKOMS Tuan Bujang Boji Sitam, wakil CIDB Malaysia, ahli PKBS, pemimpin NGO industri pembinaan, dan organisasi seperti PKBM, PKMM, DUBS, DCCI dan lain-lain.

Peranan Dr. Ishak bukan sahaja terbatas dalam sektor pendidikan tinggi, malah terus menyerlah dalam memperjuangkan ekonomi Bumiputera melalui pendekatan dasar, advokasi dan tindakan lapangan — menjadikannya antara tonggak utama dalam usaha pembangunan masyarakat Melayu Sarawak masa kini.