KUCHING, 15 Jun 2025 – Sejarah tercipta apabila seramai 33 calon baharu Ijazah Doktor Falsafah (PhD) Kohort 2 secara rasmi memulakan pengajian mereka melalui Program Khas Rakan Strategik anjuran Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bersama Rakan Strategiknya Terbilang Academy Sarawak (TAS). Majlis pendaftaran dan taklimat pelajar telah berlangsung dengan penuh gemilang di Pusat Pembelajaran Institut Aminuddin Baki (IAB), Santubong, sekali gus menandakan kesinambungan aspirasi UPSI untuk melahirkan cendekiawan tempatan yang berdaya saing dan berwibawa.

Program turut mendapat suntikan semangat apabila 28 pelajar Kohort 1 yang kini sedang giat menjalani pengajian bertindak sebagai mentor, mewujudkan ekosistem pembelajaran yang kolaboratif, berdaya saing dan menyokong perkembangan ilmu secara menyeluruh.

Dalam ucapan aluan yang penuh semangat, Dr. Ishak Johari, Ketua Pegawai Eksekutif TAS merangkap Penyelaras Program Khas Pasca Siswazah (Sarjana dan Doktor Falsafah) ini di Sarawak, menyifatkan kejayaan ini sebagai detik penting dalam pembangunan modal insan Sarawak. Beliau menzahirkan rasa syukur atas pencapaian membawa jenama UPSI ke bumi Kenyalang dengan menyatakan:

“Hari ini, kita menyaksikan bakal lahirnya ‘anak kandung Suluh Budiman’ dalam kalangan warga Sarawak – bukti bahawa pendidikan tinggi bertaraf nasional tidak lagi terhad di Semenanjung, tetapi kini turut berkembang subur di Bumi Kenyalang ini.”

Menurut beliau lagi, pelaksanaan program ini di Sarawak bukan sahaja menjimatkan kos kewangan para pelajar — termasuk kos penerbangan, bas, teksi, makan minum dan penginapan hotel — tetapi juga memberi peluang kepada calon PhD untuk mengikuti pengajian dalam suasana yang lebih selesa, stabil dan dekat dengan keluarga serta komuniti setempat.

Majlis turut diserikan dengan ucapan oleh Encik Rasyidi Johan, Pensyarah Kanan Fakulti Komputeran dan Meta Teknologi UPSI yang memainkan peranan utama dalam sesi taklimat, bimbingan dan perancangan akademik. Beliau menekankan kepentingan hubungan strategik ini dalam merealisasikan agenda pendidikan inklusif dan lestari.

Sesi perasmian disempurnakan oleh Prof. Madya Dr. Hajah Nor Azah Abdul Aziz, Penyelaras Program Pengajian Siswazah mewakili Dekan Fakulti. Beliau mengulas bahawa program ini bukan sekadar perluasan geografi pendidikan tinggi, tetapi juga satu bentuk pendemokrasian ilmu, memperkasa komuniti luar bandar dan pedalaman melalui peluang pendidikan pascasiswazah.

Sepanjang program, pelajar Kohort 2 terlibat dalam sesi suaikenal dan kelas penyelidikan manakala Kohort 1 menyertai perbincangan kolokium bersama barisan akademik UPSI yang berpengalaman, antaranya Prof. Madya Dr. Che Soh, Prof. Madya Dr. Zaliza Hanafi, Prof. Madya Dr. Che Ghani Che Kob, Dr. Anisa Abdul Wafi dan Dr. Mohd Firdaus Mustaffa Kamal.

Program diakhiri dengan sesi bergambar dan jamuan ringan, namun semangat yang dibawa pulang oleh para peserta jauh lebih bermakna — sebagai pencetus kepada satu gerakan intelektual anak Sarawak yang berdaya fikir tinggi, berdikari dan bersedia menyumbang kembali kepada negeri dan negara.