PROGRAM Iftar Ramadan anjuran Lembaga Pelawat Hospital Umum Sarawak (ALPH) diteruskan dengan kehadiran para tetamu jemputan khas dan penghuni Anjung Kasih, Hospital Umum Sarawak.

Menurut Setiausaha ALPH yang juga Pengerusi Pengelola Program, Dr. Ishak Johari, program ini bermula 16 Mac dan berakhir pada 3 April.

Program ini mendapat sokongan padu daripada penyumbang dan wakil rakyat dan para pemimpin tempatan. Antaranya termasuklah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris, Timbalan Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Petrajaya, Dato’ Sri Fadillah Yusuf, Menteri Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat yang juga Ahli Parlimen Santubong Dato’ Sri Nancy Shukri dan Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak, yang juga ADUN Semariang, Datuk Sharifah Hasidah Syed Aman Ghazali.

Menurut beliau, dengan sokongan padu daripada para pemimpin ini, ia membantu melancarkan perjalanan program bertujuan menyebarkan semangat rasa kasih sayang dan menikmati keberkatan Ramadan. Pengarah Program, Nurhidayah Seetha Abdullah pula memberitahu objektif utama program ini untuk membantu dalam meringankan bebanan kos perbelanjaan penghuni Anjung Kasih yang sedang menunggu dan menjaga ahli keluarga mereka yang sedang dirawat di hospital tersebut.

Sebahagian besar daripada mereka datang dari luar bandar termasuk Miri, Sibu dan Bintulu serta dari kawasan pedalaman di seluruh negeri ini.

Di samping itu, program ini juga bertujuan menyediakan wadah bagi masyarakat tempatan dan tetamu jemputan untuk berkongsi rasa kasih serta menunjukkan solidariti dengan mereka yang kurang bernasib baik.

Pelbagai jenis juadah dihidangkan setiap hari buat penghuni Anjung Kasih itu yang bukan sahaja dinikmati oleh penghuni Islam untuk berbuka malah juga mereka dari agama lain yang turut menginap di sana.

Turut hadir Pengerusi ALPH, George Yuon dan semua ahli ALPH. Pada kesempatan yang sama, beliau menyampaikan bungkusan makanan kepada para penghuni di rumah penginapan tersebut.

Sumber: UTUSAN SARAWAK MUKA 23