Perdana Menteri Datuk seri Anwar Ibrahim mengingatkan pihak pembangkang atau gerakan yang menamakan diri ‘pejuang Melayu’ tulen untuk tidak bermain api perkauman ketika tersepit.
Katanya, jika api marak dan membakar maka golongan tersebutlah yang akan lari dan rakyat menanggung kebinasaannya.
“Biar saya jadi PM, saya akan kutip cukai dari rakyat tetapi saya juga tak akan lepaskan tauke dan maha kaya daripada membayar cukai.
“Sebab itu kita buat siasatan. Konon ada tindakan berbau politik (pendakwaan terpilih). Itu bezanya. Selama ini kuasa politik melindungi penjenayah besar, perasuah besar. Kuasa politik memperkaya beberapa kerat penguasa dan digunakan kuasa itu melindungi mereka. Kita akan guna kuasa itu untuk melindungi rakyat, menyerang para perasuah.
“Mahu ugut kita dengan perhimpunan (Melayu). Ada kuasa kita laksanakan (perangi rasuah). Kamu nak cuba rampas (kuasa) silakan tetapi tidak mudah. Kita siap dengan keris, ‘membujur lalu melintang patah’.
“Jangan bermain api perkauman, yang terbakar itu rakyat. Kamu akan lari dengan jet peribadi kamu.
“Sepanjang 4 bulan berkuasa apa yang kita korbankan soal bahasa? Apa kita korbankan soal agama? Apa kita korban hal melayu,” katanya.
Anwar turut menyelar tokoh politik yang menyatakan Melayu hilang hak dan segala galanya.
Sedangkan katanya, selama 22 tahun memerintah tokoh tersebut tidak memperkasa Melayu marhaen.
“Ada orang sekarang setelah 22 tahun, campur 22 bulan kuasa, sekarang mengeluh Melayu hilang segala galanya. Hilang harta, hilang saham. Bagaimana tidak hilang, kalau kamu bolot untuk keluarga dan anak anak kamu. Sekarang bila hilang kuasa bicara soal rakyat. Rakyat harus bangkit mempertahankan hak mereka.
“Ini beberapa kerat sekarang sedang merencana untuk menggugat, menggunakan sentimen kaum, mengajak orang Melayu benci kepada kaum lain. Menyatakan kuasa hilang. Kamu pegang tampuk kuasa termasuk 3 tahun baru baru ini. Mana dia RUU 355?
“Mana projek peningkatan dana untuk Kelantan, Terengganu, Perlis dan Kedah. Belanjawan tahun ini yang meningkatkan jumlah kewangan untuk negeri negeri ini,” katanya lagi.
Presiden KEADILAN itu menegaskan hak Melayu lebih terbela di bawah beliau yang memperjuangkan berbilang bangsa berbanding parti parti ultra Melayu yang pernah memerintah selama 3 tahun.
Beliau juga menyentuh mengenai projek tebatan banjir yang boleh dibuat lebih banyak daripada jumlah yang dilakukan oleh kerajaan PN dengan jumlah kewangan yang sama.
Projek juga katanya bukan sahaja dibuat di Johor tetapi di negeri pembangkang juga diteruskan. Tiada unsur kezaliman berlaku sebagaimana didakwa, kata Anwar.