KUCHING: Penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam pendidikan bukan bertujuan menggantikan peranan guru atau kakitangan, sebaliknya membantu meningkatkan kecekapan dalam melaksanakan tugasan.

Penyelaras Program Khas Pascasiswazah Terbilang Academy Sarawak, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Dr Ishak Johari berkata, AI mampu menjimatkan masa, menyusun maklumat dan membuka lebih banyak pilihan dalam pelaksanaan tugasan.

“AI membantu menjimatkan masa, menyusun maklumat dan membuka lebih banyak pilihan dalam melaksanakan tugasan. Namun, manusia tetap perlu membuat pertimbangan dan keputusan akhir.

“Prinsip ini yang dibawa dalam bengkel ini, iaitu ‘AI membantu. Guru menentukan’,” katanya ketika mengendalikan Bengkel Fasih Digital AI SMK Demak Baru di sini, baru-baru ini.

Menurut Ishak, setiap bahan yang dihasilkan dengan bantuan AI perlu melalui semakan manusia meliputi fakta, sumber, bahasa, kesesuaian dengan tahap murid, privasi, bias, hak cipta serta manfaatnya terhadap pengajaran dan pembelajaran (PdP).

Sementara itu, seramai 95 guru dan kakitangan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Demak Baru menyertai bengkel yang berlangsung tiga hari dari 23 hingga 25 September di Auditorium Mini sekolah berkenaan bagi memperkasa pengetahuan dan kemahiran menggunakan teknologi AI dalam pengurusan serta pendidikan.

Program berkenaan dilaksanakan selaras dengan Standard 2 SK@S, iaitu Pengurusan Organisasi dan menggunakan pendekatan pembelajaran secara praktikal.

Bengkel itu menggunakan Model ISHAK AI-6™ sebagai kerangka utama yang merangkumi enam langkah iaitu Investigate (Siasat), Summarise (Ringkas), Harmonise (Susun), Amplify (Kuatkan), Knowledge Sharing (Kongsi) dan AI-6 Finalise (Semak).

Sepanjang bengkel, peserta diperkenalkan kepada penggunaan ChatGPT, Canva AI serta NotebookLM atau Gemini Note bagi membantu mencari dan meringkaskan maklumat, menyusun kandungan, menyediakan bahan visual serta melaksanakan tugasan dengan lebih sistematik.

Peserta turut terlibat dalam aktiviti membina arahan (prompt), menghasilkan bahan pendidikan, meneliti sumber dan menyemak output AI, termasuk menghasilkan Rancangan Pengajaran Harian (RPH) digital, poster pengajaran, slaid pembelajaran, mini eBook, peta minda dan nota digital.

Bengkel itu merupakan kesinambungan siri latihan dan bengkel Terbilang Academy Sarawak yang sebelum ini dilaksanakan di Sekolah Menengah Agama dan disertai 135 pelajar.

Sebagai tindakan susulan, guru dan kakitangan SMK Demak Baru digalakkan mengaplikasikan kemahiran AI dalam bidang tugas masing-masing serta berkongsi ilmu berkaitan aplikasi AI dengan warga sekolah.

oleh Jessica Jawing Kategory Sarawak

Sumber: https://www.utusanborneo.com.my/2026/09/25/ai-meningkatkan-kecekapan-laksana-tugasan-bukan-ganti-peranan-guru?