KUCHING: Penguasaan kecerdasan buatan (AI) dalam kalangan pelajar tidak seharusnya terhad kepada keupayaan menggunakan aplikasi atau mendapatkan jawapan dengan pantas.
Pakar TVET Dr Ishak Johari berkata, sebaliknya ia perlu disertai pemikiran kritis, kreativiti, semakan fakta dan tanggungjawab.
“AI sepatutnya digunakan sebagai pembantu dalam proses pembelajaran, manakala manusia kekal sebagai pihak yang menentukan tujuan dan membuat keputusan.
“AI ialah pembantu. Kita tetap pembuat keputusan. AI membantu proses, tetapi manusia menentukan tujuan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika mengendalikan Bengkel Fasih Digital AI yang disertai 135 pelajar SMK (Agama) Matang, terdiri daripada 52 pelajar Tingkatan Enam dan 83 pelajar Tingkatan Empat, di Dewan Ibnu Sina, SMKA Matang semalam.
Menurutnya, generasi muda perlu dilatih menjadi pengguna teknologi yang mampu memberikan arahan dengan jelas, menilai respons AI dan menentukan tahap kebolehpercayaan maklumat sebelum menggunakannya.
Sehubungan itu, peserta diperkenalkan kepada MODEL ISHAK AI-6 yang merangkumi enam proses iaitu Siasat, Ringkas, Susun, Kuatkan, Kongsi dan Semak.

“AI boleh salah. Manusia mesti semak. Jangan terus percaya dan jangan terus salin. Gunakan AI secara berfikir,” katanya.
Melalui model berkenaan, pelajar dibimbing bermula dengan menyiasat sesuatu topik, mengenal pasti maklumat penting, menyusun idea, memperkukuh kandungan sebelum menghasilkan bahan serta membuat semakan akhir.
Kemuncak bengkel menyaksikan peserta bekerjasama menghasilkan produk digital menerusi ISHAK AI-6 Master Challenge sebelum mempersembahkan hasil masing-masing dalam sesi AI Showcase.
Penggunaan ‘live leaderboard’ turut menjadikan sesi pembelajaran lebih interaktif apabila peserta dapat melihat pencapaian mereka secara langsung sepanjang aktiviti berlangsung.
Ishak berkata, pendekatan pembelajaran berasaskan AI itu bukan sahaja relevan dalam pendidikan, malah mempunyai aplikasi luas dalam dunia pekerjaan, perniagaan dan keusahawanan.
Katanya, AI mampu membantu menjana idea, menyusun maklumat, menghasilkan kandungan dan meningkatkan produktiviti, namun keputusan akhir serta tanggungjawab tetap terletak pada manusia.
Dalam pada itu, bengkel berkenaan dirasmikan Penolong Kanan Pentadbiran SMKA Matang Sidek Othman yang menjalankan tugas Pengetua, manakala Ustaz Muhammad Zulhilmi Zuhairi bertindak sebagai pengerusi program.
Bengkel dikendalikan sepenuhnya oleh Ishak, yang juga Penyelaras Program Khas Pascasiswazah (Sarjana dan PhD) serta rakan strategik Terbilang Academy Sarawak, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Ishak yang juga Pengerusi Pertubuhan Kepimpinan dan Keterbilangan Pelajar Sarawak (PKKPS) serta Pengerusi Chapter Sarawak, Anak Kandung Suluh Budiman dan Alumni UPSI, aktif dalam pembangunan pelajar, literasi digital dan penggunaan AI dalam komuniti di Sarawak.
