Ishak (depan, dua kiri) bergambar bersama para guru dari sekitar daerah Padawan yang menyertai bengkel STEM di PPD Padawan semalam.

KUCHING: Teknologi kecerdasan buatan (AI) bukan bertujuan menggantikan peranan guru, sebaliknya berfungsi sebagai pembantu digital kepada warga pendidik.

Ketua Pegawai Eksekutif Terbilang Academy Sarawak merangkap Pengerusi Pertubuhan Kepimpinan dan Keterbilangan Pelajar Sarawak (PKKPS) Dr Ishak Johari berkata, teknologi AI membolehkan guru merancang pengajaran, membina bahan pembelajaran, menghasilkan pentaksiran dan memperkayakan pengalaman pembelajaran pelajar lebih sistematik serta inovatif.

Beliau yang juga Alumni Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berkata, pendekatan tersebut selaras dengan keperluan pendidikan masa kini yang menuntut penguasaan literasi digital dan teknologi baharu.

“Penguasaan AI kini merupakan satu kompetensi penting bagi pendidik kerana teknologi tersebut mampu membantu menghasilkan pengalaman pembelajaran yang lebih kreatif, diperibadikan dan berimpak tinggi tanpa mengabaikan nilai profesionalisme guru,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika mengendalikan Bengkel AI Dalam Pengajaran dan Pembelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM): Daripada Peralatan Pintar Kepada Amalan di Dalam Bilik Darjah’ yang diadakan di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Padawan, semalam.

Bengkel itu disertai seramai 115 guru STEM dari sekitar daerah Padawan dan bertujuan memperkukuh kemahiran pendidik mengintegrasikan AI dalam pengajaran dan pembelajaran abad ke-21.

Program sehari yang dianjurkan oleh PPD Padawan dengan kerjasama UPSI itu telah memberi pendedahan menyeluruh kepada peserta mengenai konsep AI, AI Generatif, teknik membina prompt (arahan) yang berkesan serta penggunaan pelbagai aplikasi AI bagi meningkatkan kreativiti dan keberkesanan pengajaran di bilik darjah.

Sepanjang bengkel, peserta turut didedahkan kepada penggunaan aplikasi seperti ChatGPT, Gemini, Canva AI, Napkin AI, Prezi AI dan Gemini Note melalui sesi amali yang menekankan penghasilan bahan pengajaran, reka bentuk aktiviti STEM serta penyelesaian masalah menggunakan AI.

Modul latihan turut menitik beratkan aspek etika, integrity akademik dan penggunaan AI secara bertanggungjawab.

Selain itu bagi meningkatkan penglibatan peserta, penganjur memperkenalkan AI Challenge, iaitu kuiz interaktif berasaskan gamifikasi yang menguji kefahaman peserta terhadap kandungan bengkel.

 

“Saya berharap inisiatif seumpama ini dapat diperluaskan ke lebih banyak daerah di Sarawak bagi memperkasakan guru dengan kemahiran digital yang relevan serta menyokong aspirasi Kementerian Pendidikan Malaysia dalam melahirkan ekosistem pendidikan yang bersedia menghadapi era kecerdasan buatan,” tambah Ishak.

“Saya berharap inisiatif seumpama ini dapat diperluaskan ke lebih banyak daerah di Sarawak bagi memperkasakan guru dengan kemahiran digital yang relevan serta menyokong aspirasi Kementerian Pendidikan Malaysia dalam melahirkan ekosistem pendidikan yang bersedia menghadapi era kecerdasan buatan,” tambah Ishak.

Program berkenaan merupakan antara usaha strategik memperkukuh transformasi pendidikan STEM di Sarawak melalui penggunaan teknologi AI secara beretika, inovatif dan berfokus kepada peningkatan kualiti pembelajaran murid.

Sumber: Utusan Borneo Online

oleh Patricia Gari | Kategory Sarawak