Sumber: Utusan Borneo, Mei 25, 2026, Isnin – 3:15pm

KUCHING: Usaha memperkukuh keupayaan usahawan Melayu Sarawak dalam bidang pemasaran digital terus diberi penekanan menerusi penganjuran Bengkel Bina Sales Page Untuk Jualan Produk, diadakan semalam.

Program yang berlangsung dari jam 9 pagi hingga 5 petang itu dianjurkan bersama oleh Pertubuhan Pembangunan Masyarakat Melayu Sarawak (PAMS) dan Pertubuhan Kepimpinan dan Keterbilangan Pelajar Sarawak (PKKPS), dengan penyertaan ahli-ahli Dewan Ekonomi Melayu Sarawak (DEKOMS).

Bengkel sehari itu bertujuan memberi pendedahan praktikal kepada peserta mengenai pembinaan laman jualan atau salepage menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI), di samping membantu usahawan memahami kaedah pemasaran produk secara lebih profesional, tersusun dan meyakinkan.

Majlis perasmian bengkel telah disempurnakan oleh Pengerusi PAMS Dr Ikeram Yan yang menekankan bahawa masyarakat usahawan kini perlu bergerak seiring dengan perkembangan ekonomi digital bagi memastikan perniagaan terus relevan dan mampu bersaing.

Menurut beliau, dunia perniagaan kini tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada premis fizikal, sebaliknya memerlukan keupayaan memasarkan produk melalui platform digital secara lebih pantas, berkesan dan dipercayai pelanggan.

Beliau berkata, penguasaan teknologi seperti AI, automasi WhatsApp dan sistem jualan dalam talian mampu membantu usahawan memperluas capaian pasaran, meningkatkan keyakinan pelanggan serta memperkukuh jenama perniagaan masing-masing.

“Melalui bengkel ini, peserta bukan sahaja akan belajar membina salespage, malah memahami bagaimana penggunaan AI dan automasi WhatsApp mampu membantu meningkatkan jualan serta memperkukuhkan jenama perniagaan,” katanya.

Bengkel tersebut dikendalikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Terbilang Academy Sarawak Dr Ishak Johari, yang juga merupakan pengerusi Pertubuhan Kepimpinan dan Keterbilangan Pelajar Sarawak (PKKPS).

Dr Ishak ketika memberi penerangan praktikal kepada peserta mengenai pembinaan laman jualan menggunakan teknologi AI.
Dr Ishak ketika memberi penerangan praktikal kepada peserta mengenai pembinaan laman jualan menggunakan teknologi AI.

Sebagai penceramah utama, Dr Ishak membimbing peserta secara langsung dalam membina sistem jualan digital menggunakan gabungan teknologi seperti ChatGPT, Canva AI, BCL.my, BayarCash Payment Gateway dan automasi WhatsApp.

Beliau berkata, tujuan utama bengkel itu adalah untuk memastikan peserta bukan sahaja memahami konsep pemasaran digital, tetapi turut mampu menghasilkan sendiri salepage yang boleh digunakan bagi mempromosi dan menjual produk secara automatik.

Katanya, ramai usahawan mempunyai produk yang baik, namun masih berdepan cabaran untuk menyusun maklumat produk, menghasilkan ayat jualan yang meyakinkan, membina kredibiliti pelanggan dan menyediakan sistem pembayaran yang mudah.

“Salepage bukan sekadar laman promosi. Ia ialah aset jualan digital yang membantu pelanggan memahami masalah mereka, melihat kelebihan produk, membaca bukti sosial, membuat keputusan dan terus melakukan pembayaran,” katanya.

Menurut Dr Ishak, penggunaan AI dapat mempercepatkan proses menghasilkan copywriting, reka bentuk visual, struktur tawaran, butang tindakan dan sistem jualan tanpa memerlukan peserta mempunyai kemahiran pengaturcaraan yang tinggi.

Antara kandungan utama bengkel termasuk penyediaan maklumat produk, pembinaan copywriting jualan menggunakan AI, penjanaan visual salepage, penyediaan struktur laman jualan, setup sistem BCL.my, integrasi BayarCash dan tutorial hands-on membina salepage berdasarkan produk sebenar peserta.

Peserta juga didedahkan kepada kaedah menyediakan maklumat penting produk seperti nama produk, masalah pelanggan, kelebihan utama, harga, bonus, testimoni, elemen kepercayaan dan panggilan tindakan atau call-to-action.

Faedah utama bengkel kepada peserta ialah mereka dapat memahami proses lengkap membina sistem jualan digital dari peringkat penyediaan bahan promosi sehingga penerimaan bayaran secara dalam talian.

Selain itu, bengkel tersebut turut membantu peserta mengurangkan kebergantungan kepada pihak luar untuk membina laman web, menjimatkan kos pembangunan digital dan mempercepatkan pelancaran kempen promosi produk.

Dari segi impak, bengkel tersebut dijangka mampu melahirkan lebih ramai usahawan Melayu Sarawak yang celik teknologi, yakin menggunakan AI dan bersedia memanfaatkan platform digital bagi memperkukuh ekonomi komuniti.

Link: https://www.utusanborneo.com.my/2026/05/25/usaha-perkukuh-keupayaan-usahawan-melayu-sarawak-dalam-bidang-pemasaran-digital