Description
Buku ini memberi pendedahan asas kepada pelajar Diploma dalam bidang Kejuruteraan Awam dalam memahami konsep Hidrologi. Ia merangkumi pengenalan terhadap Kitaran Hidrologi dan kegunaannya dalam bidang Kejuruteraan Awam dan Alam Sekitar. Buku ini bukan sahaja menerangkan secara terperinci kaedah-kaedah pengiraan data-data hujan yang biasa digunakan di negara kita malah ia menerangkan juga cara menganalisis data-data hujan yang tidak tepat serta membaikinya. Selain itu, pengetahuan tentang air larian permukaan yang dihasilkan yang mengakibatkan banjir juga turut dijelaskan.
Analisis hidrograf adalah asas dalam bidang hidrologi, buku ini memberi penerangan secara terperinci dalam menghasilkan Hidrograf Unit (UH), Graf Hidro dan pengiraan-pengiraan yang berkaitan dengan Unit Hidrograf. Kegunaan Hidrograf Unit amat penting dalam mengetahui jumlah air larian permukaan yang terhasil di sesuatu kawasan tadahan hujan.
Buku ini ditulis dan disusun secara khusus untuk membolehkan para pelajar menambah pengetahuan tentang kaedah yang digunakan dalam merekabentuk sistem saliran dengan menggunakan Manual Saliran Mesra Alam Malaysia (MSMAM). Ianya memuatkan langkah-langkah penyelesaian masalah dengan memberi beberapa contoh-contoh penyelesaian sebagai panduan untuk membantu para pelajar menyelesaikan masalah-masalah kiraan dalam teknik merekabentuk saluran di kawasan tadahan hujan. Buku ini juga, mengandungi latihan yang dimuatkan di bahagian akhir dalam setiap bab. Latihan ini direka untuk membantu pelajar menguasai sesuatu kiraan dengan lebih mendalam selain sebagai latihan kendiri untuk menambah kemahiran pelajar.