Pengasas Pusat Tuisyen Terbilang Sarawak terima anugerah Tokoh Guru 2023

Sumber: Utusan Sarawak

KUCHING: Pengasas Pusat Tusyen Terbilang Sarawak, Dr Ishak Johari baru-baru ini menerima anugerah Tokoh Guru sempena sambutan Hari Guru peringkat Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Tanjung Malim, Perak.

Beliau merupakan satu-satunya dari Sarawak yang menerima anugerah itu pada upacara khas hari Guru dan Aidilfitri untuk alumni UPSi.

Anugerah disampaikan oleh Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan, Tuanku Zara Salim.

Pusat Tusyen Terbilang yang berpusat di sini ditubuhkan pada 2005 yang kini mempunyai dua pusat sedang aktif beroperasi, masing-masing di Matang Jaya dan Taman Sukma.

Ia juga mempunyai empat pusat tusyen melalui atas talian iaitu di Jalan Gita, Astana, Desa Ilmu dan Kota Samarahan, dengan lebih 400 pelajar sedang mendapat bimbingan di kesemua pusat tersebut.

Dr Ishak yang kini juga merupakan Professor Anjung di salah sebuah universiti awam banyak menyumbang kepada kemajuan ekonomi digital kepada anak-anak Sarawak melalui pelbagai program yang di anjurkannya bersama beberapa Badan Bukan Kerajaan (NGO) di Kuching seperti Dewan Ekonomi Melayu Sarawak (DEKOMS).

Antara program dianjurkannya ialah sumbangan dana untuk 2,515 usahawan kecil Sarawak di bawah program Pembangunan Usahawan Digital Sarawak yang dianjurkan bersama DEKOMS.

Beliau juga turut menyumbang tenaganya sebagai penceramah dan jurulatih tetap bagi kursus keushawanan digital dan bengkel untuk bakal usahawan Sarawak.

Di samping itu, beliau turut menjalankan pendidikan percuma untuk anak-anak dari kalangan B40, golongan asnaf, ibu tunggal dan anak-anak yatim.

Dr Ishak juga turut menyediakan program motivasi iaitu Kem Kecemerlangan untuk pelajar sekolah secara percuma dibawah Pertubuhan Kepimpinan dan Keterbilangan Pelajar Sarawak (PKKPS). Beliau adalah merupakan Presiden PKKPS.

Turut menerima anugerah Tokoh Guru Budiman UPSI 2023 pada upacara itu ialah cendikiawan, perancang bahasa tamadun alam Melayu dan persuratan, Senator Datuk Seri Professor Dr Awang Sariyan.

Oleh Abg Zainoren Jess

Keterangan gambar
Dr Ishak ketika menerima anugerah daripada Raja Permaisuri Perak.

https://www.facebook.com/100031233141324/posts/pfbid0ZJsYyM92VYpBU3mKinCTbhGPuQBYXMMmhfNujfgdGmDbgyS5cTM4iU6aoK4dnyUNl/?mibextid=cr9u03