KUCHING, 27 Mac 2025 – Dewan Ekonomi Melayu Sarawak (DEKOMS) sekali lagi menerima penghormatan apabila dijemput menghadiri Majlis Iftar di Astana Negeri Sarawak bersama Tuan Yang Terutama Tun Pehin Sri Dr. Haji Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar, Yang di-Pertua Negeri Sarawak, dan Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi.

Majlis iftar pada malam yang penuh keberkatan ini turut disertai oleh pertubuhan-pertubuhan Melayu dari seluruh Sarawak termasuk Pertubuhan Melayu Sarawak (PMS), Pertubuhan Pembangunan Masyarakat Melayu Sarawak (pams-sarawak.org), Persatuan Pesara Penerangan Sarawak (Penerang), serta Persatuan Kepimpinan dan Keterbilangan Pelajar Sarawak (PKKPS) . Majlis berlangsung dalam suasana yang harmoni, meriah dan penuh nilai ukhuwah di bulan Ramadan.

Delegasi DEKOMS melahirkan rasa terharu dan bersyukur atas jemputan ini, yang bukan sahaja memberi peluang untuk berbuka puasa bersama TYT, tetapi juga menunaikan solat Maghrib, Isyak dan Moreh dalam satu majlis yang mempereratkan silaturahim antara pemimpin negeri dan pertubuhan masyarakat.

Jemputan kali kedua ini mencerminkan penghargaan TYT terhadap usaha dan komitmen badan-badan bukan kerajaan dalam membangun serta memperkasakan masyarakat Melayu dan Bumiputera di Sarawak. Ia juga menjadi pengiktirafan kepada DEKOMS dan rakan pertubuhan atas peranan aktif yang dimainkan dalam pelbagai inisiatif pembangunan sosial, ekonomi dan pendidikan.

DEKOMS merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Tuan Yang Terutama Tun Pehin Sri Dr. Haji Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar dan Toh Puan atas jemputan mesra dan penuh penghormatan ini. Sokongan TYT amat bermakna buat seluruh warga NGO Melayu Sarawak dan menjadi dorongan berterusan dalam memperjuangkan agenda kemasyarakatan yang inklusif dan sejahtera.