KUCHING, 24 Mac 2025 – Delegasi Dewan Ekonomi Melayu Sarawak (DEKOMS) telah menerima penghormatan untuk menghadiri Majlis Iftar di Astana Negeri Sarawak, atas jemputan rasmi Tuan Yang Terutama Tun Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Yang di-Pertua Negeri Sarawak dan Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi.

Majlis yang berlangsung dalam suasana penuh istiadat dan keberkatan Ramadan itu telah diadakan di Astana Negeri, Kuching. Delegasi DEKOMS diketuai oleh Presiden, Tuan Bujang Boji bin Sitam, bersama Naib Presiden, Dr. Ishak Johari, dan Ahli Majlis Tertinggi, Abang Zaini Setiausaha DEKOMS.

Tujuan kehadiran DEKOMS ke majlis iftar ini adalah bagi memperkukuh hubungan silaturahim antara kepimpinan negeri dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), khususnya dalam memperluas kerjasama strategik bagi menyokong pembangunan sosioekonomi masyarakat Bumiputera di Sarawak. Majlis ini juga menjadi platform muhibah untuk pertukaran pandangan dan pengiktirafan terhadap peranan aktif yang dimainkan oleh DEKOMS dalam pembangunan masyarakat negeri ini.

Majlis turut dihadiri oleh pelbagai tetamu kehormat termasuk pemimpin masyarakat, pegawai kanan kerajaan, serta wakil agensi dan NGO dari seluruh negeri Sarawak.

DEKOMS merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Tuan Yang Terutama Tun Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi atas jemputan yang penuh penghormatan ini. Kehadiran ke majlis ini amat bermakna buat kepimpinan dan warga DEKOMS, serta menjadi satu pengiktirafan terhadap usaha memperkasa komuniti. Sokongan dan keprihatinan TYT terhadap pembangunan masyarakat Bumiputera amat dihargai dan akan terus menjadi pemangkin semangat kepada gerak kerja DEKOMS di masa akan datang.

Sumber: https://www.facebook.com/share/p/18rnPmaLfY/?mibextid=wwXIfr