KUCHING: Jaringan Alumni Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) bersama Terbilang Academy Sarawak (TAS) di Borneo terus diperkukuh bagi memperluas peluang pengajian lanjutan serta menyokong pembangunan kerjaya graduan di Sarawak.
Menurut UTHM dalam satu kenyataan, usaha itu menjadi tumpuan pertemuan delegasi Pusat Kemajuan Kerjaya dan Alumni (PKKA) UTHM dengan TAS sempena Lawatan Strategik PKKA UTHM ke Sarawak dan program Alumni Meet & Greet Zon Borneo yang berlangsung dari 1 hingga 4 Oktober lalu.
Timbalan Pengerusi Alumni UTHM Chapter Borneo Dr Ishak Johari yang juga Ketua Pegawai Eksekutif TAS, turut terlibat dalam program berkenaan yang menghubungkan university dengan alumni serta rakan pendidikan dan industry setempat.
Antara agenda utama pertemuan pada 3 Oktober ialah kerjasama TAS sebagai rakan strategik UTHM bagi penawaran program pengajian peringkat sarjana dan doktor falsafah (PhD) kepada masyarakat Sarawak dan Borneo.
Kerjasama itu bertujuan memperluas akses pendidikan pascasiswazah kepada alumni, pendidik, golongan profesional dan usahawan yang mahu meningkatkan kelayakan akademik serta mengembangkan kepakaran dalam bidang masing-masing.
Bagi golongan yang telah bekerja, pengajian lanjutan turut memberi ruang menghubungkan pengalaman professional dengan penyelidikan berkaitan keperluan tempat kerja dan masyarakat, selain menyokong pembangunan ilmu serta peningkatan kompetensi sepanjang kerjaya, kata kenyataan itu.
Pertemuan di TAS itu turut menjadi platform membincangkan kesinambungan kerjasama pendidikan, selain memperkukuh penglibatan alumni dalam pembangunan bakat dan jaringan industri di Borneo.
Pada masa sama, kebolehpasaran graduan menjadi agenda penting lawatan PKKA UTHM ke Sarawak, khususnya dalam membantu pelajar dari Borneo membuat persediaan memasuki alam pekerjaan selepas menamatkan pengajian.
Berdasarkan maklumat awal program, kira-kira 254 pelajar UTHM dari Borneo dijangka menamatkan pengajian, termasuk sekitar 145 pelajar dari Sarawak dan selebihnya dari Sabah.
Sehubungan itu, penglibatan alumni yang telah membina kerjaya dalam industri dan keusahawanan dilihat penting bagi membantu university memahami keperluan majikan serta meneroka peluang latihan industri, pembangunan kompetensi dan penempatan pekerjaan.
Alumni juga berpotensi berperanan sebagai mentor kepada graduan baharu menerusi perkongsian pengalaman, bimbingan perancangan kerjaya serta pendedahan kepada tuntutan sebenar alam pekerjaan, termasuk persediaan temu duga, penyediaan resume dan kemahiran tambahan.
Bagi alumni usahawan pula, kerjasama dengan UTHM membuka ruang untuk meneroka penglibatan syarikat dalam latihan industri dan peluang kerjaya, selain perkongsian pengalaman membina perniagaan serta mengurus tenaga kerja.
Sebagai sebahagian daripada program, delegasi PKKA UTHM turut mengunjungi Centre for Technology Excellence Sarawak (CENTEXS) pada Jumaat bagi membincangkan peluang latihan, peningkatan kemahiran dan pensijilan tambahan yang relevan dengan keperluan industri.
Delegasi PKKA UTHM diketuai Pengarahnya Dr Norfaniza Mokhtar bersama Ketua Jabatan Kerjaya Pelajar Prof Madya Dr Mohd Azahari Razali, Ketua Jabatan Hubungan Alumni Dr Abdul Wafi Abdul Rahman serta Timbalan Pendaftar Dr Ikram Syah Mokhtar.
Program turut diteruskan dengan sesi Alumni Meet & Greet Zon Borneo dan majlis makan malam bersama alumni daripada sektor industry serta keusahawanan, yang memberi ruang membincangkan cadangan aktiviti bersama, perkongsian kepakaran dan bentuk sokongan kepada pelajar serta graduan.
Kerjasama berterusan antara UTHM, TAS dan alumni Borneo diharap dapat menyumbang kepada pembangunan tenaga berkemahiran serta kepakaran tempatan yang diperlukan masyarakat dan industri Sarawak.
oleh Utusan Borneo Sarawak
