Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dibawah Fakulti Pembangunan Manusia membuka Pusat Pembelajaran (Learning Center) di Kuching, Sarawak beroperasi Ogos ini. Menurut Penyelaras Program Pasca Siswazah, Profesor Adjung Dr. Ishak Johari, “Pusat Pembelajaran dibuka bagi memudahkan para pelajar dari sekitar Bandaraya Kuching dan sekitarnya dapat mengikuti kelas secara bersemuka di sini tanpa perlu berulang-alik setiap kali cuti sekolah dan hujung minggu ke kampus UPSI di Tanjung Malim, Perak”.

Pusat Pembelajaran yang dibuka mempunyai kelengkapan seperti di Kampus UPSI meliputi Bahagian Promosi dan Marketing, Pentadbiran dan Hal Ehwal Pelajar serta kelas-kelas yang kondusif untuk tujuan proses pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka mahu pun secara hybrid.

Menurut Prof. Madya Dr. Abdul Talib Hashim, Dekan Fakulti Pembangunan Manusia UPSI yang turut hadir dalam Majlis Taklimat Sarjana Pendidikan (Mod Cuti Sekolah) di Hotel Merdeka Palace berkata, “Program yang dijalankan meliputi Mod Cuti Sekolah dan Mod Hujung Minggu, menawarkan Program Sarjana Pendidikan dalam bidang pengkhususan iaitu Sosiologi Pendidikan, Pengajian Kurikulum, Pengajian Sekolah Rendah, Pedagogi Pendidikan, Teknologi Instruktional dan Pendidikan Khas Serta TESL. Namun, program yang ditawarkan bergantung kepada bilangan minimum pelajar seramai 15 pelajar barulah kelas bersemuka akan dijalankan di Kuching. Setakat ini, Program Mod Cuti Sekolah terdiri daripada guru-guru sedang berkhidmat adalah seramai 28 orang pelajar berulang-alik dari Kuching ke Kampus Tanjung Malim berikutan belum ada pusat pembelajaran dibuka”.

Selain itu, Program Ijazah Doktor Falsafah (PhD.)  juga akan dijalankan di Pusat Pembelajaran Kuching, Sarawak yang akan di pantau oleh Penyelia dalam kalangan Pensyarah dari Universiti Pendidikan Sultan Idris sendiri. Semua program Sarjana Pendidikan dan PhD. yang ditawarkan adalah diiktiraf oleh Malaysian Qualifications Agency (MQA) sama seperti program yang sedang berjalan di Kampus UPSI, Tanjong Malim Perak.

Pada sesi taklimat yang sama, Dr. Ishak juga menerangkan syarat-syarat kemasukan untuk program Sarjana iaitu kelayakan minimum 2.50 PNGK pada peringkat Ijazah Sarjana Muda atau kelayakan melalui Akreditasi Pembelajaran Pengalaman Terdahulu (APEL) juga diterima oleh senat.