Sumber: Utusan Borneo, Mei 19, 2026, Selasa – 9:47pm

KUCHING: Sokongan penajaan, pinjaman pendidikan dan pembiayaan kewangan dilihat sebagai nadi penting dalam usaha melahirkan lebih ramai cendekiawan Sarawak, khususnya dalam kalangan anak tempatan yang berhasrat menyambung pengajian ke peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah.

Ketua Pegawai Eksekutif Terbilang Academy Sarawak Dr Ishak Johari berkata, hasrat memperbanyakkan golongan berkelayakan tinggi di Sarawak tidak akan tercapai sepenuhnya tanpa sokongan padu daripada agensi penaja, yayasan dan institusi kewangan.

Menurut beliau, pengajian Master dan PhD bukan sekadar untuk mendapatkan ijazah, sebaliknya merupakan pelaburan ilmu jangka panjang bagi melahirkan lebih ramai pemikir, penyelidik, pendidik dan pakar tempatan yang mampu menyumbang kepada pembangunan negeri.

“Program Master dan PhD. ini penting kerana kita mahu melahirkan lebih ramai cendekiawan Sarawak. Kita mahu melihat lebih ramai anak Sarawak bergelar Doktor, menjadi penyelidik, pensyarah, guru pakar, pemimpin pendidikan dan tokoh ilmu dalam bidang masing-masing.

“Ilmu yang diperoleh bukan hanya untuk diri sendiri, tetapi perlu kembali memberi manfaat kepada masyarakat, institusi pendidikan dan pembangunan negeri Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan aluan pada Program Orientasi Pelajar Baharu bagi Program Khas Sarjana dan Doktor Falsafah Model Rakan Strategik Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) – Terbilang Academy Sarawak Semester II, Sesi 2025/2026 di Borneo Culture Museum Sarawak, Kuching baru-baru ini.

Dr Ishak menyampaikan cenderamata kepada Puan Nurfaini.
Dr Ishak menyampaikan cenderamata kepada Puan Nurfatini, Pengurus PTPTN Sarawak

Program itu menghimpunkan pelajar baharu pascasiswazah yang bakal mengikuti pengajian di bawah kerjasama strategik UPSI dan Terbilang Academy Sarawak.

Dr Ishak yang juga Penyelaras Program Khas Pascasiswazah Model Rakan Strategik UPSI–Terbilang Academy Sarawak berkata, pelaksanaan program Master dan PhD di Sarawak amat bermakna kerana ia membuka ruang kepada lebih ramai rakyat negeri ini untuk menyambung pengajian tanpa perlu berdepan kekangan besar dari segi jarak, kerjaya dan keluarga.

Beliau berkata, ramai anak Sarawak mempunyai potensi akademik yang tinggi, namun sebahagian daripada mereka memerlukan maklumat jelas dan sokongan kewangan bagi membolehkan hasrat menyambung pengajian diteruskan.

Sehubungan itu, beliau merakamkan penghargaan kepada Yayasan Sarawak, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Affin Bank dan Bank Simpanan Nasional (BSN) atas sokongan terhadap pelajar Sarawak yang ingin melanjutkan pengajian.

“Saya mewakili Universiti Pendidikan Sultan Idris dan Terbilang Academy Sarawak mengucapkan jutaan terima kasih kepada Yayasan Sarawak, PTPTN, Affin Bank dan BSN atas sokongan padu dari segi kewangan kepada Sarawakian yang ingin menyambung pengajian peringkat Master dan PhD.

“Sokongan ini amat besar maknanya. Kadang-kadang yang menghalang seseorang menyambung pengajian bukan kerana tiada kemampuan akademik, tetapi kerana bimbang tentang kos. Maka, kehadiran pihak penaja memberi harapan baharu kepada pelajar,” ujarnya.

Pada program tersebut, Puan Nurfatini Akmal, Pengurus PTPTN Cawangan Kuching, Sarawak, turut menyampaikan Taklimat Pinjaman PTPTN kepada pelajar Master dan PhD yang berminat mendapatkan tajaan serta kemudahan pembiayaan pendidikan.

Dr Ishak berkata, maklumat pembiayaan yang jelas membantu pelajar merancang pengajian dengan lebih yakin, tenang dan fokus kepada penyelidikan.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Profesor Madya Dr Suliana Sulaiman, Timbalan Dekan Fakulti Komputeran dan Meta-Teknologi, UPSI.

Program turut diisi dengan taklimat akademik oleh Profesor Madya Dr Nor Azah Abdul Aziz dan Dr Fizaril Amzari bin Omar, selain bengkel berkaitan penggunaan kecerdasan buatan dalam penyelidikan dan penulisan akademik.

Dr Ishak berkata, usaha membawa program pascasiswazah ke Sarawak adalah sebahagian daripada komitmen Terbilang Academy Sarawak untuk membuka laluan ilmu kepada lebih ramai rakyat negeri ini.

“Kita mahu Sarawak bukan sahaja kaya dengan sumber alam, tetapi juga kaya dengan sumber manusia berilmu. Lebih ramai pemegang PhD bermakna lebih ramai pemikir, penyelidik dan pemimpin ilmu yang mampu mengangkat martabat Sarawak,” katanya.